10 Tips Jimat Duit Ketika Membeli Belah | Setelah bergelar pasangan suami isteri, pasti banyak perkara perlu dibeli untuk keperluan harian. Walaupun hanya untuk menampung perbelanjaan dua orang iaitu antara anda dan pasangan, sifat boros dan terlalu mengikut nafsu boleh menyumbang ke arah pembaziran.
Pelbagai barang dengan promosi yang melampau seakan-akan menarik diri anda untuk membeli barang tersebut sedangkan ia bukanlah keperluan seharian anda. Tidak hairanlah bila ke pasaraya, troli anda sentiasa penuh mengalahkan pasangan yang mempunyai anak ramai.
Mari ikuti beberapa tip ketika membeli belah bersama pasangan di pasaraya untuk elak pembaziran.
· Senaraikan barang
Sebelum keluar membeli belah, senaraikan barang-barang yang hendak dibeli. Senaraikan sekali bajet harga yang bakal anda belanjakan. Ini sekaligus dapat mengelakkan anda mengambil barang-barang yang tidak diperlukan dan terlebih bajet.
· Sebulan sekali
Memandangkan anda hanya berdua, pilihlah untuk keluar membeli belah sebulan sekali. Pilih barang-barang yang tahan lama dan tidak mudah rosak. Sekiranya anda ingin membeli barang-barang segar seperti ikan, pastikan anda membeli dalam kuantiti yang sedikit yang boleh di masak dalam lingkungan tiga hari bagi mengelakkan barang tersebut busuk dan tidak segar di dalam peti ais.
· Makan dahulu
Sebelum membeli belah, apakata anda dan pasangan makan dahulu di rumah atau di mana-mana kedai makan. Sekiranya anda membeli belah dalam keadaan lapar, ini mendorong anda mengambil barang-barang yang tidak diperlukan. Sekaligus menyebabkan pembaziran.
· Terokai rak makanan
Kebiasannya di pasaraya akan meletakkan barang yang lebih mahal di hadapan manakala barang-barang yang murah di rak-rak belakang. Terokai terlebih dahulu rak tersebut sebelum anda membuat pilihan.
· Periksa harga produk
Sebelum memilih atau membeli sesuatu barang, periksa terdahulu produk yang menawarkan harga yang lebih murah. Pastikan produk tersebut bermutu tinggi dan berkualiti. Jangan sesekali terpedaya dengan harga borong yang kononnya menawarkan harga lebih murah. Kebanyakan harga borong biasanya sama dengan harga sebenar. Ia hanyalah salah satu strategi pemasaran di pasaraya. Semak setiap harga kerana mungkin ada boleh mendapati produk yang sama lebih murah di pasaraya yang lain.
· Jangan terlalu lama
Jangan berada di pasaraya terlalu lama sekiranya anda tidak berjumpa dengan barangan yang anda kehendaki. Sebaiknya, bertanyalah pada jurujual yang ada di situ untuk membantu anda. Jika anda berusaha mencari sendiri, ia mendorong anda membeli barang-barang lain yang tidak anda perlukan.
· Jadi bijak
Berhati-hatilah dengan susun atur produk di pasaraya. Biasanya mereka akan mengatur produk yang menarik perhatian di bahagian hadapan atau bahagian pintu masuk. Sekiranya anda tidak berhati-hati anda mungkin akan memasukkan barang-barang tersebut kedalam troli anda!
· Bawa bakul
Perkara paling bijak untuk mengurangkan barang yang dibeli adalah dengan membawa bakul untuk mengisi barang. Elakkan membawa troli kerana semakin besar troli tersebut, semakin banyak barangan yang anda ingin penuhkan.
· Bawa wang mencukupi
Mungkin ia kedengaran agak kedekut, namun jika dipandang dari sudut positif banyak kelebihannya sekiranya anda membawa wang sekadar mencukupi. Seandainya anda membawa wang dengan amaun yang banyak dan berlebihan, ia mendorong anda membeli dengan lebih banyak dan sekaligus membawa kepada pembaziran.
· Elak berhutang
Sekiranya anda ingin membeli barang elektrik seperti TV, kipas atau mesin basuh di pasaraya, elakkan membeli secara hutang atau melakukan bayaran secara ansuran. Kerana semakin banyak barang yang anda pilih, semakin bertambahlah komitmen hutang anda.
0 comments:
Post a Comment